AURAT PESAKIT DAN PERAWAT

Soalan: Apa hukum bagi pekerjaan yang memerlukan seseorang itu menyentuh golongan yang bukan mahram, contohnya doktor untuk merawat pesakit atau jururawat yang terpaksa sentuh pesakit untuk memberi bantuan?
# termasuk perawat-perawat (mua'lij) yang menggunakan ruqyah syar'iyyah, yang merawat pesakit-pesakit histeria, rasukan dan lain-lain.
Jawapan: Darurat ialah keperluan yang sangat diperlukan oleh manusia. Adapun darurat menurut ulama fiqh adalah berhajatnya manusia itu kepada batasan (perkara yang dilarang oleh syarak) dan jika sekiranya tidak mengambil perkara yang dilarang itu maka akan binasalah manusia tersebut.
Di dalam menjawab dan menyelesaikan persoalan ini, kita mestilah (wajib) merujuk terlebih dahulu kepada al-Quran al-Karim dan hadis Rasulullah S.A.W. sebagai kayu pengukurnya. Penjelasan dari para ulama muktabar dijadikan panduan di dalam memahami dalil-dalil yang dikemukakan pada setiap persoalan dan permasalahan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud: Tidak boleh memudaratkan (diri sendiri) dan tidak boleh memudaratkan (orang lain). (Riwayat Ibnu Majah, Malik, Hakim, Baihaqi dan Daruqutni).
Dari hadis ini, para ulama telah mengeluarkan beberapa kaedah fiqh (qawaid fiqhiyyah) di antaranya:
Darurat boleh mengharuskan perkara yang diharamkan dengan syarat (darurat tersebut) tidak kurang darinya (perkara yang diharamkan).
Kaedah di atas merupakan suatu kaedah yang amat terkenal di dalam menjelaskan persoalan darurat ini terutamanya keharusan wanita dirawat oleh lelaki asing (serta sebaliknya) beserta beberapa kaedah lain lagi. Di sini saya akan membincangkan persoalan ini secara ringkas berdasarkan kaedah ini dengan di sokong oleh dalil-dalil yang berkaitan. Semoga penjelasan ringkas ini membawa manfaat kepada semua pihak. InsyaAllah.
Allah Taala telah mensyariatkan agama Islam ini bertujuan untuk menjaga lima perkara (maqasid syariyah) iaitu:
  • Menjaga nyawa.
  • Menjaga maruah.
  • Menjaga keturunan.
  • Menjaga harta.
  • Menjaga agama.
Penjagaan dan pemeliharaan kelima-lima perkara ini sudah pastilah membawa kepada berlakunya perkara-perkara darurat pada sesetengah keadaan. Darurat yang datang untuk memelihara maqasid syariyah boleh mengharuskan perkara yang diharamkan ketikamana berlaku pertembungan (ketika berhadapan dengan dua kemudaratan) dengan memilih kemudaratan yang paling ringan. Di samping itu, pemahaman mengenai fiqh alawiyat (fiqh keutamaan) begitu penting bagi memastikan istilah darurat tidak disalahgunakan sesuka hati.
Berikut adalah syarat-syarat bagi memastikan kemudaratan:
  • Perkara yang betul-betul berlaku dan bukan perkara jangkaan.
  • Tiada cara lain untuk mempertahankan kemudaratan melainkan mengambil perkara yang dilarang oleh syarak.
  • Wajib ke atas orang yang terpaksa (mengambil mudarat) menjaga kadar darurat tersebut kerana apa yang diharuskan di dalam keadaan darurat diukur berdasarkan kadar darurat tersebut.
  • Wajib ke atas orang yang terpaksa (mengambil mudarat) mempertahankan darurat berdasarkan kaedah: Menolak kerosakkan (lebih besar) dengan (kemudian) kerosakkan (besar).
  • Orang yang terpaksa (mengambil mudarat) perlu mengutamakan rukhsah terlebih dahulu.
Di antara keadaan yang boleh dikatakan sebagai darurat adalah terpaksa melihat aurat dan menyentuh bukan mahram ketika mengubati pesakit dengan beberapa syarat yang yang telah ditetapkan oleh syarak. Darurat yang dimaksudkan di sini ialah ketikamana tiada doktor sejantina untuk merawat pesakit yang kronik (jika tidak dirawat segera boleh menyebabkan kematian dan kesakitan berterusan dll), maka dibolehkan doktor yang bukan sejantina merawat pesakit tersebut dengan beberapa syarat yang telah digariskan syarak.
Tiada khilaf keempat-empat mazhab mengenai keharusan melihat aurat perempuan (jika doktor lelaki@perawat lelaki) ketikamana di dalam keadaan darurat. Namun di sana diletakkan syarat-syarat yang perlu diikuti (sila rujuk thread di atas) bagi keharusan melihat aurat dan menyentuh bukan mahram ketika darurat untuk merawat pesakit. Berikut di antara dalil-dalil berkenaan keharusan (kebolehan melakukan perkara-perkara yang dilarang syarak pada asalnya) ketika berlaku darurat:
Firman Allah Taala bermaksud: Dan Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah di dalam perkara agama. (Surah al-Hajj: Ayat 78).
Firman Allah Taala bermaksud: Allah tidak memberatkan seserang melainkan apa yang terdaya olehnya. (Surah al-Baqarah: Ayat 286).
Firman Allah Taala bermaksud: Tetapi barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa (memakannya) sedang ia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, maka tidak ada dosa baginya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah al-Baqarah: Ayat 173).
Menurut hukum asal yang telah ditetapkan syarak, tidak harus bagi seseorang perempuan itu diubati oleh lelaki (serta sebaliknya). Ini kerana mengubati seseorang yang berlainan jantina itu boleh membawa kepada melihat dan menyentuh bukan mahram. Hukum haram ini (melihat aurat dan menyentuh bukan mahram) telah sedia kita maklumi sejak dari kecil lagi maka saya tidaklah bercadang untuk menjelaskan perkara ini secara terperinci lagi.
Firman Allah Taala bermaksud: Dan janganlah perempuan-perempuan mendedahkan perhiasan mereka kecuali bahagian-bahagian (anggota) yang zahir sahaja. (Surah al-Nur: Ayat 31).
Daripada ayat al-Quran al-Karim di atas, para ulama telah menetapkan bahawa, aurat perempuan adalah seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan. Adapun aurat lelaki adalah dari pusat hingga lutut. Inilah pendapat kebanyakkan (jumhur) ulama berkenaan dengan batasan aurat. Adapun menyentuh bukan mahram juga tidak dibenarkan oleh para ulama.
Dibolehkan Lelaki Bukan Mahram Melihat Aurat Wanita Dalam Beberapa Keadaan
(1) Ketika Hendak Meminang

Menurut dalam kitab fiqh, bahawa harus bagi lelaki ajnabi yang halal bernikah dengan seseorang wanita itu melihatnya ketika ia berazam untuk meminangnya. Kadar sempadan aurat yang boleh dilihatnya ialah muka dan kedua tapak tangan (dari pergelangan tangan hingga ke jari). Bahkan ada sesetengah ulama berpendapat, hukum melihat untuk tujuan meminang adalah sunat pula, kerana bertujuan untuk menambat hati. 

Pendapat dan hukum itu berdasarkan hadis, bahawa Nabi s.a.w bersabda, maksudnya; “Apabila seseorang (lelaki) itu hendak meminang seseorang wanita, digalakkan ia melihatnya, sekiranya dengan melihatnya bertambah mendorongnya untuk berkahwin dengannya”- (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan Al-Hakim) . 

(2) Ketika Berjual-beli

Ketika berjual-beli, diharuskan melihat wajah wanita yang datang membeli barang, kerana sekiranya berlaku kecacatan ke atas barang tersebut, mudah untuk membuktikan bahawa barang yang hendak dipulangkan semula itu dibeli oleh wanita itu. Demikian dengan pinjam-meminjam dan lain-lain. 

(3) Doktor Atau Perawat, Bertujuan Mengubat 

Bagi doktor atau tukang ubat, bila ia hendak mengubati atau merawat pesakit wanitanya, harus baginya melihat atau menyentuh mana-mana bahagian yang perlu dirawat, dengan syarat wanita itu ditemani oleh suaminya atau lelaki mahramnya atau wanita yang amanah. (Apabila ketiadaan doktor wanita). 

(4) Ketika menuntut ilmu (belajar)

Kami di Pusat Rawatan Islam Darul Nusrah, amat menitikberatkan had aurat perawat dan pesakit. Setiap pesakit yang memerlukan rawatan diwajibkan membawa teman@waris terdekat semasa sesi rawatan dengan perawat.

# sedikit pesanan dari saya untuk pesakit-pesakit wanita, jika terdapat perawat-perawat islam MUSLIMAH (mua'lijah) yang berhampiran dengan tempat anda. Gunalah khidmat mereka, andai tiada kesembuhan dan serta semakin mudarat (hingga ke darurat) barulah anda digalakkan menggunakan perawat-perawat islam lelaki (mua'lij). Sesungguhnya kesembuhan itu HAK MILIK MUTLAK ALLAH!



Aurat terbuka,DIJILAT api neraka

Comments

Popular posts from this blog

SIMPTOM/ TANDA-TANDA DIGANGGU SAKA DAN SIHIR

TANDA-TANDA SAKA BERADA DIDALAM TUBUH BADAN MANUSIA

MENGENAL PERAWAT ISLAM (YANG TIDAK DIDAMPINGI JIN)